40 PEMANDU PELANCONG SERTAI CERAMAH “SELAMI SEJARAH BORNEO”

Bandar Seri Begawan, 27 Jun 2026

Jabatan Kemajuan Pelancongan bersama Agensi-Agensi Pelancongan yang terdiri daripada 40 orang pemandu pelancong yang berdaftar dan berlesen di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan telahpun menghadiri ceramah bertemakan Selami Sejarah Borneo, anjuran Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pengkajian Borneo yang bertempat di Bangunan Pusat Pengkajian Borneo pada Hari Sabtu 27hb Jun 2026.

Program Ceramah Sejarah Borneo Kali Ke-14 merupakan salah satu komponen utama dalam projek berkenaan yang dianjurkan bagi mempromosikan penggunaan sumber-sumber sejarah Borneo sebagai bahan rujukan serta menyediakan platform untuk berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman dan hasil penyelidikan berkaitan sejarah Borneo. Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Pusat Sejarah Brunei dalam memperkukuhkan peranannya sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei, khususnya dalam memperkenalkan Bahagian PenBORNEO sebagai pusat rujukan dan penyelidikan yang menyediakan platform akademik untuk penyebaran serta pertukaran ilmu mengenai sejarah, budaya dan warisan Borneo.
Melalui penganjuran program ini, PenBORNEO dapat menjadi wadah yang menghubungkan para penyelidik, akademia dan masyarakat umum untuk berkongsi pandangan, hasil kajian serta penemuan baharu yang berkaitan dengan sejarah, budaya dan warisan Borneo.
Melalui sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh para penceramah yang berpengalaman, program ini juga bertujuan untuk memupuk minat masyarakat, khususnya generasi muda, terhadap bidang penyelidikan dan penulisan sejarah. Pendedahan kepada pelbagai aspek sejarah Borneo diharap dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dokumentasi dan pemeliharaan warisan sejarah sebagai sumber rujukan yang bernilai.
Adalah penting bagi Jabatan Kemajuan Pelancongan untuk memastikan setiap pemandu pelancong berlesen melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan, khususnya dalam menyampaikan maklumat yang tepat, jelas dan mudah difahami kepada para pelawat termasuk mempunyai pemahaman asas mengenai sejarah Borneo agar maklumat yang dikongsikan adalah tepat. Dengan adanya usaha berterusan seperti ini, warisan sejarah dan khazanah ilmu berkaitan Borneo dapat terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyampaian pekhidmatan yang kompeten dan professional ini bukan sahaja dapat meningkatkan mutu perkhidmatan secara keseluruhan, malah turut menyumbang kepada pemantapan kualiti serta imej industri pelancongan negara serta menyumbang kepada perkembangan ilmu sejarah serta memperkukuhkan identiti dan jati diri bangsa.