15 PEMANDU PELANCONG SERTAI LATIHAN KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN PELANGGAN
Bandar Seri Begawan, 8 Julai 2026
Latihan Kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan bagi Industri Hospitaliti dan Pelancongan telah diadakan selama tiga hari dari 6 hingga 8 Julai 2026 melalui kerjasama antara Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri dengan SEAMEO Regional Centre for Vocational and Technical Education and Training (SEAMEO VOCTECH). Seramai 15 orang pemandu pelancong berdaftar telah menyertai latihan tersebut.
Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pelanggan dalam industri pelancongan dengan menerapkan nilai-nilai Islam serta memperkukuhkan pelancongan Islam sebagai salah satu keunikan Negara Brunei Darussalam. Program ini juga selaras dengan usaha Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam memastikan perkhidmatan hospitaliti negara berada pada tahap yang cemerlang.
Melalui pelaksanaan Kempen MESRA (Muhibbah, Etika, Senyum, Ramah dan Adil), peserta didedahkan kepada kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dalam penyampaian perkhidmatan pelanggan. Latihan ini membantu peserta meningkatkan kemahiran, pengetahuan, dan sikap kerja yang lebih profesional serta berorientasikan prestasi tinggi.
Program ini juga memainkan peranan penting dalam memastikan pemandu pelancong berlesen mempunyai kompetensi yang diperlukan untuk mengendalikan pelancong secara beretika, berkualiti, dan selaras dengan garis panduan Islam. Penghayatan nilai keBruneian seperti keramahan, kesantunan, dan budi bahasa diharapkan dapat memperkukuhkan imej sektor hospitaliti dan pelancongan negara serta memberikan pengalaman positif kepada para pengunjung.

